Perenggan Pendahuluan

PENDAHULUAN
Perenggan pendahuluan boleh diumpamakan seperti penampilan manusia.
Perawakan yang menarik akan mempengaruhi minat orang.
Wajah, pakaian dan unsur luaran lain memberi impak kepada hati sesiapa yang melihat.
Oleh sebab perenggan ini memberi kesan pertama terhadap keseluruhan karangan, maka peranannya amatlah penting.
Tujuan pendahuluan karangan SPM adalah mempengaruhi pemeriksa agar terpikat dan jatuh hati.
Tanggapan positif pemeriksa pada peringkat awal boleh memberi kelebihan dan keuntungan.
Oleh itu, penghasilan perenggan pendahuluan tidak harus dipandang mudah.
Marilah kita sama-sama berkongsi cara untuk mengubah penampilan karangan supaya lebih daya penarik
. Antara ayat-ayat yang boleh dimasukkan dalam perenggan permulaan karangan ini adalah seperti berikut :
Pantun / Tajuk akhbar / Definisi / Kata-kata tokoh / Anekdot (cerita pendek) / Fakta sejarah / Gambaran suasana peristiwa / Peribahasa / cogan kata / kata hikmat / Data / statistik / Persoalan (ayat tanya)    
Ayat-ayat di atas tidaklah perlu mengikut urutan seperti di atas.
Walau bagaimanapun, ayat persoalan (ayat tanya) perlu dikekalkan sebagai ayat terakhir atau ayat transisi (ayat yang ada kesinambungan dengan ayat isi).
Selain itu, bukan semua ayat ini perlu dimasukkan dalam perenggan pendahuluan. Keperluan untuk memasukkan ayat-ayat tersebut adalah bergantung pada tema karangan atau kehendak soalan.